Wednesday, January 27, 2010

ASAL USUL MEE

Tahukah anda mee merupakan sejenis makanan zaman purba yang hanya dinikmati oleh golongan istana pada zaman dahulukala? Rekod pertama mee gandum yang dijumpai di Utara China berusia kira-kira 100 tahun selepas masehi.

Walaupun golongan istana merupakan golongan pertama yang merasai keenakan mee, golongan biasa juga tidak terkecuali daripada menikmati keenakan dan kelazatannya dan sehingga ke hari ini kita masih sukar melupakan keenakkan mee! Mee merupakan bahan utama di dalam kebanyakan masakan di negara Asia manakala di negara Barat seperti Eropah dan Amerika juga mempunyai bentuk mee mereka yang tersendiri yang dipanggil pasta.

Mee pada asasnya diperbuat daripada doh yang tidak dibubuh ragi yang diperbuat daripada pelbagai jenis bahan-bahan mentah seperti beras, sekoi, gandum, kacang hijau, ubi kentang dan juga biji gandum. Mee juga merupakan makanan yang sangat mudah untuk dimakan dan dalam masa yang sama juga sangat praktikal.

Semangkuk mee dapat membekalkan anda tenaga yang mencukupi sepanjang hari. Ia juga tidak mudah rosak dan mudah untuk disimpan. Mee juga mudah disediakan sama ada menjadikannya masakan panas mahupun sejuk.

Hari ini, mee sudah menjadi makanan yang dimasak dengan pelbagai cara dan banyak digunakan di dalam resepi chef-chef yang terkenal sehinggalah kepada mereka yang baru hendak belajar memasak. Mee juga boleh disediakan dalam pelbagai jenis masakan. Antaranya termasuklah:-

  • Mee asas dimasak dengan cara merebusnya dengan air, ditapis dan kemudian dicampurkan dengan sos atau bahan lain. Contohnya : Pasta Itali dengan sos Marinara.
  • Mee sejuk merupakan mee yang dihidang sejuk iaitu dalam bentuk salad. Contohnya Salad mee ala Thai yam woon sen.
  • Mee goreng merupakan mee yang digoreng dengan pelbagai bahan seperti daging, makanan laut ataupun sayur-sayuran. Contohnya Mee Lo mein ataupun Mee Goreng.
  • Mee sup pula dimasak dan dihidangkan berkuah. Contohnya Laksa ataupun Mee Ramen.

Mari kita mulakan dengan resepi penyediaan mee ala barat. Di barat, mee lebih dikenali dengan nama pasta. Apa yang anda perlukan adalah mesin pemproses makanan ataupun alat pembancuh menggunakan tangan. Resepi asas ini menggunakan bahan-bahan seperti berikut: dua cawan tepung serbaguna, tiga biji telur bersaiz besar, satu sudu teh air, satu sudu teh minyak zaitun dan satu sudu teh garam.

Jika anda menggunakan mesin pemproses makanan, masukkan kesemua bahan-bahan tadi ke dalam mesin dan proseskan ia sehingga menjadi doh.

Letakkan doh tadi ke atas permukaan yang telah ditaburkan dengan sedikit tepung dan uli selama kira-kira tujuh minit. Gunakan lebih tepung untuk mengelakkan adunan daripada melekat di permukaan menguli. Pastikan tekstur yang telah siap berasa lembut dan elastik. Bahagikan doh tadi kepada empat bahagian dan tutupkannya dengan plastik.

Kemudian, anda boleh mula menguli doh tadi untuk menjadikannya bahagian pasta secara individu. Ambil sedikit daripada doh tadi dan ulikannya dengan penguli sehingga menjadi 1/8 inci tebal. Gulung dan uli semula dengan ketebalan yang sama. Ulangi langkah yang sama sebanyak sembilan atau sepuluh kali lagi. Akhir sekali, ulikan sehingga menjadi bentuk segi empat tepat (anggaran: 1/16 daripada seinci atau lebih kurang). Biarkan ia kering dan potonglah mengikut saiz yang diperlukan.

Nah! Sekarang anda sudahpun menjadi sebahagian daripada tradisi makanan zaman dahulukala!

No comments:

Post a Comment